mypaint

mypaint
warna warni cerita hidup
Daripada Allah kita datang dan kepada Allah jua kita akan dikembalikan

Friday, 31 July 2015

Cerpen: Harapan

Alhamdulillah Alhamdulillah Alhamdulillah.
Cerpen ni sebenarnya nak hantar untuk Adiwarna. Tapi tak sempat nak kejar due date. Huhu... 2 hari after tarikh baru siap, baru ada idea. Jadinya, kita siarkan kat sini je la ye..
*************************************************************************************\


Kubis masak lemak putih, ayam goreng, sambal belacan, ulam raja terhidang atas meja kecil itu. Keduanya sudah bersedia untuk menyantap hidangan makan malam sederhana itu. Ruhil memandang Iqram. Memberi isyarat. Iqram membetulkan duduk.  
“Allahumma barik lana fi ma rozak tana wa qina a’zabannar”.
“Aamiin.”
Suapan pertama ke dalam mulut membuatkan Ruhil tersenyum puas. Walaupun belum ada ucapan yang ditunggu tetapi dia terus sabar dan yakin, kepuasan itu turut dirasai insan di hadapannya yang sedang tekun menyuapkan suapan demi suapan ke mulut sendiri.  Melihatkan reaksi si suami yang mengangguk sendiri sambil terus diam menyuap makanan itu, lega di dalam jiwa. Bukan selalu dia dapat memenangi hati suaminya dalam bab masakan ini tetapi tidak pula dia merungut kerana tidak sedap. Sebaliknya, dia akan memberitahu, “Macam tawar je.” “Macam pelik je.” “Abang tak pernah makan kari ayam macam ni.” Dan itu buat dia faham. Tetapi setiap kali gagal ujian itu, suaminya tetap memberi semangat. “Tak pe, cuba lagi. Lama-lama ok la.” Dalam kelegaan ada rasa kekesalan kerana malas di dapur tika masih bujang. Dan sekarang, bila keliru dengan resepi, dia angkat telefon. Ibu di kampung menjadi rujukan tetap. Baru setahun berkahwin, pelbagai resepi dicuba. Bukan sahaja untuk mengambil hati suami, bukan sahaja untuk membuktikan dia boleh jadi isteri yang pandai memasak tetapi dia sendiri ingin jadi isteri dan ibu yang boleh memasak untuk keluarga sendiri. Iqram terkadang tidak mengerti. Dalam kesibukan bekerja Ruhil sibuk juga di dapur. Walhal, dia tidak memaksa. Cuma, ada ketikanya, selera makan yang berubah itu menuntut dia untuk membeli sahaja. Namun, makan luar bukanlah tabiatnya. Dia masih terasa kasih si isteri itu dalam setiap masakannya walaupun hidangan itu ada ketikanya, hangus, hangit.
Di pertengahan dengan baki nasi yang tinggal sedikit.
“Sayang.”
Dia mengangkat muka.
“I love you.” Dengan kenyitan mata itu membuatkan Ruhil tersengih malu. Kembali menyambung suapan yang tergendala.
****
“Mama, kenapa mama senyum sorang-sorang?” Petah si kecil itu mematikan lamunannya. Dia yang sedang duduk di kerusi luar bangunan taska tadika itu.
“Eh, mama ada senyum ke?”
“Ye la. Kalau orang lain nampak, mesti ingat mama pelik.”
Ruhil tersengih.
“Anak mama apa khabar kat sekolah hari ni?” Diusap kepala anak kecil yang sudah pun menanggalkan tudungnya. Rambut yang diikat tocang oleh gurunya itu dikemaskan. Kebiasaannya memang begitu. Paginya, anak itu akan bertudung, sehingga satu masa dia sudah merasa tidak selesa, dia akan meminta izin untuk menanggalkan tudung. Ruhil sendiri memberitahu Lily akan kewajipan itu wajib dilaksanakan sepenuhnya apabila tiba masa kelak, namun, dari kecil Lily perlu membiasakan dirinya untuk bertudung litup.
“Ok. Lily lambat keluar sebab tadi nak siapkan mewarna.”
“Lily warna apa hari ni?” Sambil dia bangkit, memegang tangan kecil anaknya, menuju ke kereta.
“Warna gambar bentuk-bentuk. Ada segitiga, ada bulat, ada segi empat. Mama, cikgu kata, muka Lily bentuk bulat. Iye ke mama?”
Ruhil tergelak.
“Iye lah. Mana ada muka petak?”
“Mama ni.” Ruhil tersenyum. Muka bulat itu lah yang mewarisi muka ayah Lily.
Keduanya telah sampai di kereta. Lily membuka begnya dan mengeluarkan sehelai kertas. Setelah itu, begnya diletakkan di tempat duduk belakang dan kemudian duduk di hadapan. Ruhil memakai tali pinggang. Lily ikut rentak ibunya.
“Mama, cikgu suruh mama datang minggu depan. Cikgu nak jumpa.”
“Minggu depan?”
“Ni surat.” Belum sempat Ruhil menghidupkan enjin kereta, helaian itu diambil daripada anaknya. Melihat tarikh yang tertera, fikirannya terus sahaja mengingat sesuatu.
****
Pintu rumah dibuka dengan lafaz bismillah. Doa pendek dibaca menghindar daripada gangguan syaitan yang sedang menunggu di muka pintu. Dibaca dengan nada yang boleh didengar Lily supaya anaknya itu dapat mengikut ajaran yang baik itu dari kecil.
“Ok, Lily pergi mandi, salin baju. Lepas tu Lily nak buat apa?”
“Makan. Pai pagi tadi ada lagi tak mama?”
“Ada. Ok, mama panaskan sementara mama buat makan malam.”
“Ok.” Dan Lily melangkah masuk ke biliknya.
Ruhil duduk di kerusi berdekatan dapur, mengeluarkan telefon bimbit dari dalam beg tangannya. Terus sahaja membuat panggilan penting itu.
“Assalamualaikum.”
“Waalaikumussalam. Ye sayang. Lama abang tunggu sayang call abang.”
“Lily ada perjumpaan dengan ibu bapa minggu depan, tapi saya tak boleh pergi. Ada kursus satu hari. Nak mintak tolong awak pergi.”
“Hari apa?”
“Khamis. Pukul 8 dah kena ada kat sana.”
“Ok, saya free. Tapi lepas tu saya nak bawa pergi jalan-jalan boleh.”
“Jangan lupa hantar semula.” Tegas nada itu.
“Sayang..”
“Assalamualaikum.”
Dia mengeluh. Mengerti kesilapan itu, mengerti hati wanita itu tetapi dia cuma boleh berserah pada Yang Esa. Kiranya masih ada jodoh antara mereka. Masih memberi masa seperti mana pernah peluang itu diberi berkali-kali kepadanya. Tetapi, dia sebagai lelaki yang pernah menjadi suami kepada wanita itu terkadang, masa itu terasa terlalu lama. Rasa cinta dan rindu sentiasa menggamit hati. Dan Lily, si pengubat jiwa.
****
Untuk kali terakhir pagi itu, Ruhil mencium kedua pipi anaknya.
“Okey, jaga diri ye sayang. Dengar cakap papa papa, jangan susahkan papa ok.”
Dia hanya tersenyum mendengar elok ayat itu. Jika dulu, hatinya terusik, mungkin saja wanita itu masih mencintainya, namun, dia tersilap. Itu adalah didikan seorang ibu kepada anaknya.
Lily mengangguk faham.
“Baik mama. Tapi nanti  nak minta papa belanja ayam goreng.” Sekilas Lily memandang manja ke arah ayahnya.
“Tanya papa nanti tapi, tak nak minta mainan ok. Dah banyak mainan kat rumah.”
“Ok tapi kalau papa nak belanja?”
Diusap kepala anak petah yang bijak itu.
“Hem, apa-apa pasal terus call saya.”
“Ye, abang tahu. Sayang tu nanti makan, solat.”
Ada goyah di hati. Dia cuma wanita biasa. Wanita yang pernah mencintai lelaki itu dan masih sayang. Yang sedang belajar untuk tidak lagi menerima lelaki itu. Kesilapan itu terlalu sukar untuk dia terima. Dan masih sukar juga belum yakin dan pasti adakah perubahan itu benar? Adakah dia cinta kepada perubahan itu, atau kepada lelaki itu? Atau perlu ada sebab lain untuk dia kembali mencintai lelaki itu?
****
Hari sudah lewat malam tika dia sampai di rumah ayah. Mesej terakhir daripada Iqram, Lil ada di rumah ayah. Dan, melihatkan kereta itu elok terpakir di bawah garaj, spontan dahinya berkerut.
“Ayah ok ke ni?”
Pintu rumah ayahnya dibuka dengan kunci pendua. Tidak mahu mengganggu ayahnya yang pastinya sudah tidur tika lewat malam begini.
“Lambatnya sampai.”
“Oh mak.” Tangannya mengusap dada.
“Eh, sayang ok tak? Sorry, sorry.” Iqram menghampiri isterinya tetapi segera ditahan dengan isyarat tangan Ruhil.
“Kenapa tak balik lagi?”
“Ayah bagi tidur kat sini.”
“Ayah?”
Iqram angguk yakin.
“Mana Lily?”
“Biar dia tidur dengan saya ye?”
*****
“Ayah ok tak ni?”
“Ok la.”
Ayah yang perasan riak si anak itu meletakkan cawan milo panas untuk sarapan pagi itu.
“Hal dah lepas jangan diungkit. Dia dah tak macam dulu.”
“Mana ayah tau?”
“Ayah kan lelaki.”
“Ruhil tak nak ayah berharap.”
“Ayah ni orang tua. Ayah makan garam dulu dari kamu.”
“Iye, tapi Ruhil takut semua tu berulang. Ruhil tak nak ayah sakit lagi.”
“Ayah bukan nak campur urusan Ruhil. Tapi selagi ayah hidup, tanggungjawab ayah jaga Ruhil.”
Dia diam dan kebiasaan pun begitu. Bila ayah bercakap, dia akan mendiamkan diri. Bukan tidak mendengar tetapi hormat.
“Ayah nak Ruhil bahagia, hidup senang dengan keluarga.” Dan begitu lah ayah. Pendek cuma nasihat dia.
“Maafkan Ruhil ayah. Ruhil dah banyak susahkan ayah.”
“Tak ada anak tak susahkan mak ayah, tapi itu tanggungjawab mak ayah. Asalkan anak-anak bahagia, hidup berbaik itu dah cukup untuk mak ayah.”
“Arwah mak Ruhil nak Ruhil gembira. Bukan bersedih.”
“Ruhil tak sedih ayah.”
“Lily tu perlukan ayah.”
“Sekarang pun saya tak kisah dia nak jumpa Lily ayah.”
“Ruhil, Ruhil…”
“Ayah, Ruhil tak bersedia. Ruhil dah susahkan ayah dengan perpisahan Ruhil dengan Iqram. Ruhil tak boleh tengok lagi kalau semua tu jadi lagi. Biarlah Ruhil macam ni.”
“Ayah cuma nak Ruhil bahagia.”
Ruhil pandang mata yang dimamah usia itu. Di hatinya pula, ayah itu sangat mengerti sebenarnya. Tanpa bicara, dia memahami isi hati si anak ini.
“Dah la, jangan pening kepala, makan tu. Lily tak bangun lagi?”
“Syok sangat agaknya tidur kat kampung.”
Susuk Iqram menghampiri.
“Dah lama tak tidur kat kampung rasa macam tak nak bangun ayah.” Dia duduk sebelah Ruhil.
“Ayah pun kalau masa hari hujan lambatla bagi ayam makan.”
Iqram gelak.
“Ruhil, cedukkan nasi goreng tu.”
Ruhil terkedu dengan arahan ayah. Iqram hanya menunggu.
****
Selesai makan tengahari itu, dia duduk di depan televisyen, membuka siaran yang masih ada. Dia memakai tudung setelah mengeringkan rambut dengan alat pengering rambut Achik. Untuk keadaan terdesak begini, terpaksa digunakan alat itu.
“Sayang ok tak?”
Dia berpaling. Si suami yang mengenakan t-shirt pagoda putih dan kain pelekat itu mengembalikan dia pada masa lepas. Segera dihapus kenangan lama itu.
“Ok.” Dia sudah duduk di kerusi yang masih kosong, bertentangan isterinya.
Hati yang tidak keruan ditenangkan seboleh mungkin. Iqram tersenyum.
“Sayang…”
Ruhil berpaling.
“Sayang tetap cantik. Eh tak. Makin cantik.”
Spontan dia garu kepala.
Iqram tergelak kecil. Tak berubah tabiat yang satu itu.
“Macam mana kursus semalam?”
“Ok, macam biasa.”
“Tak kan macam biasa. Mesti lagi bersemangat nak mula kerja.”
“Hem…”
“Ramai tak usik isteri abang ni?”
Dipandang wajah lelaki itu. Renungan itu difahami Iqram.
“Ye, bekas isteri.”
“Mesti ada cuba kacau kan. Kalau abang ada kat sana, siap la sayang. Abang pakaikan kalung ‘Dia Isteriku.’ ” Iqram tergelak sendiri.
“Ada yang ajak keluar, tapi malas nak layan. Laki orang, entah ke buaya darat, lidah bercabang.”
“Ha kan abang dah cakap, mesti ada la.”
“Awak pun dah ada yang lain.” Itu yang dia dengar daripada Erni, adik Iqram.
“Macam cemburu je ni?”
“Bukan.”
“Pergilah. Jangan kacau saya. Saya dah rimas kena kacau dengan lelaki.”
Hatinya terusik.
“Abang bukan macam lelaki lain.”
“Ye. Sebab tu saya kena hadap awak.”
“Abang minta maaf.”
“Awak tak bosan minta maaf banyak kali sedangkan saya dah maafkan awak.”
“Abang dah berubah.”
“Saya bukan nak awak berubah sebab saya, sebab..”
“Ye, abang dah sedar silap abang.”
“Bila dah terjatuh,baru awak sedar kan?”
“Sayang…” Sukar. Hati itu sukar dimiliki kini.
“Elokla awah dah sedar, awak dah berubah. Saya harap awak boleh terus ok.”
“Saya nak keluarga kita bersatu semula.”
Ruhil tersengih sinis. Bukan mudah.
“Saya tak pernah mimpi pulak macam tu. Cukup macam sekarang, awak nak jumpa Lily, nak jenguk ayah, saya tak kisah.”
“Saya nak isteri saya semula.”
Dia terlalu tergesa-gesa mungkin membuatkan wanita itu berdiam lama.
“Saya nak masuk dulu.”
****
Air matanya laju. Hatinya yang ditahan sekukuh tembok besar China itu kini hancur. Rindu yang disimpan, sayang yang dipendam mengalir keluar bersama deraian air mata itu. Dia tidak mampu dan tidak cukup kuat membohongi dirinya tetapi dia perlu kuat untuk lelaki itu. Dia perlu. Melepaskan lelaki itu bersama kebaikan yang dilaluinya.
****
“Ayah tak sangka Iqram buat macam ni pada anak ayah.”
Di depan ayah, ditahan sungguh empangan itu agar tidak pecah.
“Maafkan Ruhil ayah.”
Ayah diam.
“Ruhil salah pilih menantu untuk ayah. Ruhil tak tahu.”
“Salah ayah jugak sebab tak selidik dulu. Maafkan ayah Ruhil.”
Ruhil gelengkan kepala. Bukan salah ayah, tetapi dirinya. Ayah yang sudah bersungguh mempersiapkan majlis pernikahannya dan kini ikatan itu hancur. Seakannya, segala usaha itu tidak terbalas. Seakan belum hilang penat segala. Dan bukan itu yang menjadi pokoknya tetapi ikatan itu.  Tidak mampu dipertahankan. Walhal, terlalu segan kiranya diingatkan betapa jemputan yang hadir meraikan mendoakan kebahagiaan dan kebersamaan rumahtangga itu sehingga ke akhir hayat, Dia tidak mampu lagi pertahankan cinta itu jika hanya kerana dunia. Kerana, jika dunia itu menjadi matlamatnya, sememangnya Iqram memenuhi segala kehendaknya. Tapi, bukan itu yang arwah emak dan ayah didik. Bukan itu yang dia belajar, bukan itu juga kemahuannya.
****
Bunyi mesej diterima kedengaran. Dilihat skrin yang telah disentuh.
‘Makan sama hari ni. Abg dh ambil Lily dari sekolah. Kami tunggu kat tempat makan nasi ayam yang selalu tu.’
-Sy ada kerja lg.
Dan telefon berbunyi.
“Jomlah. Abang tak kacau masa kerja sayang pun. Ni kan masa rehat.”
“Tapi saya ada kerja.”
No, keluar sekarag atau abang dengan Lily datang pejabat. Kita makan kat pejabat sayang.”
“Sekejap.”
****
“Banyaknya makanan. Siapa nak makan semua ni?”
“Lily nak makan. Abang beli kan je la.”
Pandangan dia tajam mengena Lily.
“Biarlah. Bukan selalu.”
Dan kembali resahnya hadir melihat makanan terhidang di atas meja. Iqram mengerti.
“Jangan risau. Abang dah tak buat kerja tu.”
“Abang boleh cakap macam tu depan saya tapi belakang saya tak tahu.”
“Depan rezeki tak elok kita cakap bukan-bukan. Jom makan dulu.”
Ruhil masih membatukan diri.
“Kalau sayang tak yakin, sayang boleh bayar sendiri tapi untuk abang dengan Lily, abang bayar sebab abang tahu duit tu bersih.”
Hatinya terusik dengan yakin tetapi sengaja dia mahu mendera hati di depannya. Lily terus menikmati makanan terhidang di hadapannya.

****
Selesai menikmati makan tengahari, Lily sudah masuk ke dalam kereta. Janji Iqram untuk menghantar Lily pulang setelah habis waktu pejabat. Dan Iqram maih berdiri di hapadan Ruhil. “Sampai bila sayang nak ragu dengan abang?”
Diam.
“Abang dah tak buat kerja tu. Abang dah faham semua. Abang tak kan buat lagi.”
Diam.
“Dulu pun awak cakap tu dan sekarang awak nak saya percaya awak macam saya percayakan awak dulu? Tapi apa awak buat dengan peluang tu. Awak sia-siakan. Saya percaya duit halal awak, saya beri anak kita makan. Saya gunakan duit awak. Tapi darah yang mengalir dalam badan saya ni. Kotor.”
Jijik. Itu perasaannya dari mula dia tahu dan sehingga kini, setiap kali dia melihat pengemis, dia akan memberikan sedekah, setiap kali ada bergaji, dia akan hulurkan sedikit untuk rumah anak yatim. Berniat untuk membersihkan setiap rezeki yang diberi Allah dengan duit yang diragui statusnya itu. Bukan kesusahan itu yang menjadi bebanan tetapi rasa kotor dalam dirinya. Tak tertanggung.
*****
“Ruhil, sampai bila kau nak hukum dia? Allah maha pengampun, penerima taubat. Dia dah berubah.” Maryam menutur kata setelah mendengar luahan sahabat di hadapannya itu.
“Biarlah dia cari orang lain. Sekarang dia dah ok, dia boleh dapat perempuan lain, lebih baik dari aku.” Selamba Ruhil memberi respons.
“Pasalnya, dia nak kau.”
“Aku tak nak dia.”
“Kau masih nak dia kan? Kalau tak, tak kan kau membujang sekarang.”
“Kitaorang baru setahun dua berpisah, tak kan aku boleh cari pengganti sedangkan dah 5 tahun aku dengan dia. Pulak, mesti la aku fikir banyak kali. Ingat senang-senang aku nak cari lelaki dapat terima aku dengan anak aku sekali.”
“Tu pasal, balik semula je pada dia.”
“O mak ai,. Cadangan kau kan… “
“Kau tak cemburu tengok dia.”
“Tak. Aku gembira untuk dia. Asalkan dia boleh terus jadi orang yang baik, aku tak kisah kalau dia tak dengan aku pun.”
Dua hari lepas, mereka bertembung dengan Iqram yang sedang membeli juadah berbuka di bazar bersama seorang perempuan. Cantik. Mungkin perempuan itu yang diberitahu adik iparnya.
“Kau ni.”
Jujur itu hatinya. Kiranya sahaja wanita lain itu dapat membawa bekas suaminnya itu ke jalan yang lebih baik, kenapa tidak dia tumpang gembira dan bahagia. Dan mungkin dia sendiri boleh mencari pengganti Iqram juga dengan rasa bahagia. Namun, dalam lubuk hati yang paling jauh, hatinya terusik rasa cemburu yang disimpan ketat.
*****
Suasana pasaraya itu tidak terlalu sesak dengan manusia. Masih awal untuk membuat persiapan menyambut Syawal namun, di satu sudut, Ruhil dan Maryam sedang memilih baju. Sengaja membuat persiapan awal agar tidak kelam kabut dengan urusan kecemasan yang mungkin menghalang di hujung waktu. Tambahan, Ruhil dan Maryam tidak mahu mengganggu masa di hujung 10 ramadhan. Waktu yang paling berharga untuk dibazirkan dengan urusan dunia.
Sedang leka memilih tiba-tiba baju Ruhil ditarik sesorang dari bawah. Ruhil memandang. Spontan tersenyum. Dan menurunkan badannya.
“Alahai comelnya awak ni. Mana mama?”
Si kecil itu menunjukkan bungkusan botol susu.
“Awak nak susu ye?” Ruhil memerhati sekeliling jika ada ibu bapa kepada si kecil itu dan kemudian.
“Ya Allah, adik.” Si ibu itu cemas. Ruhil tersenyum melihat wanita itu semakin menghampiri dan terus mendukung si kecil itu.
“Baru dapat kaki ni. Tak nak kita pegang. Sekejap je tadi, tengok dia dah tak de.” Terus sahaja wanita itu membuka cerita.
“Risau mama tau.” Si kecil itu cuma tersengih.
“Berdua je ke?” Soal Ruhil.
“Ayah dia dengan kakak, abang dia dekat kedai buku.”
“Owh. Tak pelah. Baik ni.” Ruhil mengusap kepala anak itu.
“Terima kasih ye.”
“Sama-sama.” Berlalunya wanita itu dan dia masih tersenyum.
“Ha, kau kalau nak baby, cepat-cepat kahwin.” Maryam menyergah. Ruhil berpaling.
“Teringat baby aku.”
Riak Maryam berubah. Rasa bersalah.
“Maaf Hil, aku tak niat nak buat kau sedih.”
“Tak la. Cuma teringat.”
*****
Perutnya tiba-tiba tersa sakit yang amat sangat. Dia sudah terduduk. Terasa perit. Dan dia nampak aliran merah itu.
“Ya Allah.”
*****
Air matanya masih mengalir.
“Sayang.”
Usapan itu ditepis perlahan. Masih ada rasa hormat dalam benci dan marah.
“Abang minta maaf.”
“Boleh abang hidupkan baby semula.”
Astaghfirullah hal a’zim.”
“Lepaskan saya.”
“Apa sayang cakap ni?”
“Saya dah tak sanggup hidup dengan duit haram awak. Baby pun tak nak hidup dengan duit haram awak tu.”
“Saya bersabar selama ni untuk awak berubah, harap awak berubah untuk baby ni tapi tak. Awak tak berubah apa-apa pun. Saya tak mintak banyak Iqram. Saya cuma harap awak boleh jadi pemimpin keluarga kita yang baik, dengan duit yang halal, tapi awak tak buat.”
Dengan aliran air mata itu dia melangkah masuk ke bilik dan menguncinya. Dia tidak mahu mendengar apa jua daripada mulut Iqram dan tidak mahu bercakap apa-apa lagi setelah segalanya jelas. Dia sudah penat teramat.
*****
Ramadhan hanya berbaki 3 hari.  Dan atas sebab itu, Iqram mengajaknya berbuka di rumah ayah. Tidak sempat mengelak, ayah sudah berpakat dengan Iqram mengajaknya berbuka di rumah.
“Hari ni Lily puasa tau ayah”
“Iye? Bagusnya anak ayah ni.”
“Lily, cakap terus terang. Tak baik cakap separuh-separuh macam tu. Ayah salah faham nanti.” Ruhil yang sedang memotong buah tembikai menegur sikap si anak itu yang sedang duduk menunggu waktu berbuka di meja makan. Lily tersengih. Iqram hairan. Ayah hanya diam melihat keletah cucu dan  menantunya.
“Lily puasa separuh hari je. Lily baru nak belajar puasa. Tak pe kan ayah puasa separuh-separuh?”
“Tak pe sebab Lily kecil lagi. Belajar sikit-sikit. Nanti dah besar, baru la wajib puasa penuh.”
“Owh. Tapi hari tu mama ada tak puasa.”
Ruhil memandang anaknya.
“Lily nampak mama makan dalam bilik.”
Iqram tersengih. “Itu mama cuti. Allah bagi cuti.”
“Puasa pun ada cuti?”
“Ye lah. Kalau orang yang sakit sangat, Allah bagi cuti tapi dia kena ganti balik bila dia sihat.”
“Habis, solat pun ada cuti ke ayah?”
Ruhil menunggu jawapann dari si ayah untuk si anak itu.
“Solat tak de cuti.”
“Patutlah mama selalu suruh Lily solat.”
“Lily kecik lagi. Lily belajar sikit-sikit. Yang penting Lily kena tahu, kita solat sebab Allah suruh, bukan mama suruh, bukan cikgu suruh.”
Ruhil meletakkan buah tembikai yang sudah siap dipotong di atas meja.
“Dah nak azan ni, kita baca doa dalam hati. Lily mintak apa je pada Allah, Allah mesti bagi.”
“Okey.” Lily tadah tangan.
“Ya Allah, Lily nak duduk dengan mama, dengan ayah, dengan atuk sekali. Aamiin.” Ringkas doa itu dilantunkan. Iqram tersenyum. Diusap kepala anak kecil itu.
*****
“Okey, sebelum tidur baca doa dulu.”
“Mama..”’
“Ye.”
“Boleh tak suruh ayah duduk dengan kita. Lily suka cerita dengan ayah.”
“Lily dah tak suka cerita dengan mama ke?”
“Lily suka mama dengan ayah.”
Ruhil mengusap kepala anaknya.
“Kita ajak la ayah duduk dengan kita. Boleh Lily tanya macam-macam dengan ayah. Boleh main kuiz, macam kita selalu main tu.”
Ruhil tersenyum.
“Hem..ok. Lily doa banyak-banyak ye.”
Lily angguk.
“Ok, dah baca doa’, dah maafkan kawan Lily, pejam mata, tidur ye sayang.”
Ruhil mencium dahi Lily. Kemudian melaraskan tahap cahaya lampu dalam bilik itu. Dia menyarung tudung dan melangkah keluar. Dilihat Iqram masih di ruang tamu.
“Sayang.” Iqram menepuk kusyen kerusi itu. Ruhil menghampiri dan duduk.
“Abang kena keluar awal esok. Ada urusan penting. Abang terlupa nak bagi kad ni tadi.”
“Kad apa?”
“Ini kad jemputan.”
Ruhil angguk.
“Bila majlisnya?”
“Raya kedua insya-allah. Datanglah. Bawak ayah, Lily sekali.”
“Insya-allah.”
Diam seketika.
“Abang ingat abang nak raya kat sini, tapi majlis tu dah lama rancang. Abang pun tak nak tangguh-tangguh.”
“Abang..”
Iqram memandang. Terusik bila wanita itu memanggilnya dengan gelaran itu.
“Saya masuk tidur dulu.” Dia tidak sanggup lagi mendengar celoteh Iqram tentang hari bahagianya. Cukuplah dia diberitahu berita gembira Iqram. Dia lega. Tidak perlu lagi berharap pada Iqram sekalipun dia yakin Iqram sudah berubah dan mampu jadi suami yang lebih baik.
“Sayang tak nak cakap dengan abang lagi?”
Dia marah. Tetapi cuma dalam hati. Kenapa dia memanggil dirinya dengan perkataan yang sudah jadi milik orang lain? Kenapa lelaki itu masih mendera hatinya?
*****
Kerana ayah yang bersungguh mengajak, ayah mahu hubungkan sillaturrahim dan dia akur. Membawa Lily yang belum mengerti ayahnya itu mungkin amat sukar sekali untuk mendengar dan menjawab segala persoalannya. Mungkin mainan kuiz itu hanya akan ada dua orang sahaja ahli. Melihatkan kemeriahan majlis itu, hatinya terusik. Tetamu hadir memenuhi jemputan. Hanya beberapa langkah, wajah-wajah itu masih dikenali dengan mudah dan masih dirindu.
“Assalamualaikum mak, ayah.”
“Waalaikumussalam. Alhamdulillah. Mak ingat Ruhil tak datang.”
“Ni dah datang.” Dia memaniskan muka.
“Abang sihat?” Ayah mertuanya menyoal kepada ayahnya sambil berjabat.
“Alhamdulillah sihat.”
“Cucu nenek ni dah besar. Cantiknya pakai tudung.”
Lily menyalami atuk dan neneknya. Disinggahi ciuman di pipi kecil itu.
“Abang jemput makan dulu. Nanti sambung borak.”
“Hem, yelah.”
Dan mereka melangkah ke ruang jamuan makan.
“Lily makan dulu ye dengan atuk.” Ruhil meletakkan sepinggan nasi dengan ayam masak kicap. Juga seketul daging.
“Mama nak pergi mana?”
“Mama nak ke toilet sekejap.”
Lily angguk.
Dia masih ingat tiap susun atur rumah itu. Rindu, sebak, sedih. Tetapi ditenangkan sendiri.
“Sayang.” Dia berpaling. Jika jantung itu boleh gugur, pastinya tergolek seketul jantung itu di situ. Segak lelaki di hadapannya berbaju melayu dan bersongkok. Tanpa sampin. Mungkin sedang bersiap untuk persandingan.
“Mana ayah dengan Lily?” Iqram menghampiri.
“Ada tengah makan.”
“Sayang tak makan?”
“Kejap lagi.”
Iqram tersenyum.
“Nak jumpa abang baru boleh makan ye?”
“Awak jangan usik saya lagi boleh tak? Saya cuma nak ke tandas.”
“Abang gurau je la.”
“Awak dah jadi milik orang lain pun nak bergurau macam tu lagi. Kalau tak sebab ayah suruh, saya tak datang tau.” Ditahan nadanya. Mujur sahaja tidak ramai orang di ruang itu.
“Kejap. Milik orang lain apa nya?”
“Awak kan dah kahwin dengan entah sape entah.”
“Abang pun tak tahu abang kahwin dengan sapa?”
“Apa awak ni. Main-main dengan benda macam ni?”
Iqram tersengih.
“Itu la, lain kali tengok dulu. Perangai dia tu tak berubah rupanya.” Iqram mendekat.
“Apa awak ni?”
“Ha, berawak-awak lagi. Ini majlis Achik la. Bukan majlis abang.”
“Achik?”
“Achik yang belajar medic kat India dulu tu. Awal tahun hari tu dia balik, terus nak kahwin tahun ni. Tak nak tangguh, sebab husband dia kena sambung belajar pulak. Lepas ni dia ikut husband dia la.”
Diam. Kelu.
“Erni cakap..”
“Tak tahu Erni tu suka usik sayang?”
Diam lagi.
“Abang dah agak dah, sayang salah faham. Angin semacam je.”
Rasa dalam jiwa hanya Tuhan yang tahu.
“Lepas ni kita buat majlis kita pulak ye.”
“Apa majlis kita nye?”
“Ingat dah tak de suara tadi”
“Awak jangan main-main.”
“Abang tak gurau. Ni abang serius. Abang nak sayang abang semula. Sayang nak ke tak nak ke sayang kena nak, sebab abang je untuk sayang.”
“Yakin sangat ke?”
“Tak de orang boleh ganti tempat ayah Lily.”
So, Lily je la.”
“Itu cemburu namanya sayang, cemburu tu tanda sayang. Abang nak bukti apa lagi? Abang pun dah buktikan pada sayang dan abang akan usaha jadi lebih ok lagi.”
Diam. Entah, dia seakan mengalah. Pada rindu, pada sayangnya.
“Abang mintak maaf semua salah abang yang dulu. Abang dah faham semuanya. Abang dah cuba dan abang tahu di mana kekuatan abang, mana kekurangan abang. Cuma sekarang, abang perlukan sayang untuk abang balas semula kebaikan sayang pada abang. Tapi bukan tu je. “
Ruhil angkat kepala memandang.
“Abang dah cuba cari pengganti sayang tapi tak de yang sesuai.”
“Abang ni.” Mahu dicubit lengan lelaki itu tetapi segera dielak Iqram.
“Nanti dah nikah ye sayang. Sabar, sabar..” Iqram tergelak senang hati.

Noted: Terasa agak poyo bila baca semula cerita ni. Kehkeh… hepi-hepikan hati dengan berusaha menjadi hamba Allah yang lebih baik lagi.