Alhamdulillah Alhamdulillah Alhamdulillah..
Alhamdulillah dah 4 hari kita berpuasa kan? jadinya macam mana puasa kita? semoga ada peningkatan untuk ramadhan kita tahun ini dari sehari ke sehari..
Alhamdulillah..
hari ketiga dan hari keempat tazkirah lepas terawih disampaikan oleh imam lain. Dan, bahasanya kali ini lebih santai dan lebih mudah nak hadam. Dan kedua tazkirah mengingatkan jemaah akan ayat daripada surah Albaqarah:183 yang bermaksud
"Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa."
Dan masa aku solat zohor di masjid as-syakirin pun, ada tazkirah selepas zohor juga menerangkan akan ayat ini. Kiranya, ayat ni seakan ayat wajib para penceramah sebagai isi dan peringatan untuk kembali muhasabah diri mengenai kewajipan puasa di bulan ramadhan.
Okey, dalam satu tazkirah, dikatakan, bila ada ayat seruan, "Wahai orang-orang yang beriman", maksudnya kat situ, arahan yang Allah suruh buat selepas ayat seruan itu hanya mampu dilakukan oleh orang-orang beriman. Aku terkesima. Memang kan, orang tak beriman, belum tentu dapat berpuasa, orang tak beriman, belum tentu dapat menunaikan zakat, menunaikan solat.
Dalam tazkirah yang lain pula diterangkan orang-orang beriman adalah orang yang telah dipertanggungjawabkan ke atasnya untuk melakukan kewajipan yang Allah perintahkan. Orang-orang yang dah tahu baik buruk, dah kenal dosa pahala..
Dan perintah Allah itu adalah supaya kita menjadi manusia yang bertaqwa. Again, Allah sangat sayangkan kita. Taqwa. Allah tak nilai kita dengan harta bertimbun, kedudukan tinggi rendah, warna kulit hitam putih atau bangsa arab cina melayu. Tetapi... TAQWA.. Allah suruh kita berpuasa supaya kita dapat taqwa.
Analogi yang diberikan ustaz mudah sahaja. Ibaratnya kita makan. Bila kita makan, kita dapat kenyang. Bila kita puasa, kita dapat taqwa, insya-allah. Semoga puasa kita ni dapat dipertingkatkan kualitinya untuk mendapat taqwa itu. Dan diterangkan pula bahawa puasa menurut imam Ghazali ada tiga tingkat. Puasa kategori awwam, kategori khusus, dan kategori khusus li khusus.
1)Puasa Awwam ni puasa orang yang hanya menahan lapar, dahaga dan tidak bersetubuh tetapi masih melakukan maksiat lain seperti, mencuri, mengumpat, tidak solat dan sebagainya.
2)Puasa Khusus pula ialah puasa orang yang berpuasa menahan lapar, dahaga, menahan hawa nafsu, menjaga anggota badan daripada melakukan segala maksiat dan ditambah dengan melakukan amalan-amalan sunat.
3) Puasa khusus al khusus iaitu puasa yang menahan segala-galanya daripada segala perkara duniawi. Ingatan, hati dan jiwa diserahkan dengan ingatan kepada Allah s.w.t semata-mata. Melakukan amal ibadah hanya untuk keredhaan Allah. Melaksanakan puasa untuk Allah semata-mata. Puasa ini puasa golongan para rasul, puasa orang-orang yang dekat dengan Allah, ikhlas kerana Allah..
Jika kita tidak mampu pada tahap yang tertinggi sekali itu, berusahalah untuk berada di tahap yang ke dua. Insya-allah, kita mampu lakukannya.
Ha, lagi aku nak tambah, ustaz ada bagitahu yang ramadhan ni bulan rahmat, bulan keampunan. Di awal-awal ramadhan baru ni hujan turun. Padahal sekarang kan tengah musim panas. Tetapi dengan kasih sayang Allah, Allah turunkan rahmat. Allah yang menepati janjiNYA. Yang kata-katanya sentiasa benar, Allah turunkan hujan di kala musim panas. Subhanallah. Memang kat tempat aku ni pun hujan masa hari pertama ramadhan. Dan sekarang ni pun hujan. Malahan, petang-petang pun kadang hujan. Subhanallah. Rahmat dari Allah..
Alhamdulillah, perbanyakkanlah syukur pada Allah. Dan kiranya kita terlupa, ucapkan astaghfirullah. Allah suka hambaNYA yang mengakui silapnya dan kemudian memperbaiki silapnya. Semoga ramadhan ini memberi banyak kebaikan untuk kita di dunia dan akhirat. Rebutlah peluang yang hanya datang setahun sekali yang belum tentu kita dapat lalui lagi tahun depan. Dan tika ini pun kita tak tahu andai kita dapat laksanakan penuh puasa dalam bulan ramadhan ini. Ajal kita, hanya Allah yang Tahu..semoga kita sama-sama dapat menjadi manusia yang bermanfaat. Insya-allah..