Jenayah itu terjadi antara sebabnya kerana
adanya ruang dan peluang. Ruang dan peluang yang terbuka untuk seseorang
melakukan jenayah. Kenapa saya kata seseorang dan tidak penjenayah? Sebab, pada
pemerhatian saya, tak semestinya penjenayah itu dah lakukan jenayah baru dia
buat jenayah, tetapi boleh jadi sesiapa sahaja yang dalam keadaan terdesak
melihat adanya ruang dan peluang, maka jalan singkat itu dipilih, dan wujudlah
label ‘penjenayah’ untuk dia. Dan tidak semestinya dalam keadaan terdesak
tetapi boleh jadi dalam keadaan yang biasa, tetapi adanya ruang dan peluang
itu. Tanpa berfikir panjang,. tanpa memikirkan sebab dan akibat daripada
perbuatan jenayah itu, maka jenayah itu terjadi.
Saya melihat ini kerana saya sering menjadi
manusia yang leka dengan dompet, beg tangan dan telefon bimbit saya. Suami
sering ingatkan saya. Sehinggakan, sekiranya saya baru keluarkan duit dari atm,
suami akan pegangkan dompet saya. Pernah satu ketika, saya menunggu suami. Agak
lama pasaraya. Mesin yang paling dekat pula rosak. Sedang saya menunggu,
seseorang menarik beg saya. Dan, tika itu…. Mujur sahaja, suami saya. Maka,
suami mula membebel. Betul. Terlalu mudah untuk beg itu diragut. Dan, telefon
bimbit saya, bukan telefon pintar tetapi hanya yang biasa. Jika terkehilangan
tidaklah terlalu ralat. Jika mahu gunakan kecanggihan teknolgi itu, saya akan
gunakan telefon suami saya. Sekurangnya buat masa ini.
Dan, ketika dalam perjalanan hanya untuk
membeli keperluan rumah, kami menaiki motor. Di hadapan kami adanya seorang wanita
sedang leka dengan telefon canggihnya. Suami memberi lagi satu contoh, betapa
mudahnya kiranya, telefon bimbit wanita itu dicopet.
Dan banyak lagi contoh yang kadangkala,
jenayah itu diundang oleh diri kita sendiri. Terkadang merasakan tiada apa-apa,
tetapi sebenarnya, penjenayah tegar sentiasa melihat dan mencari ruang dan
peluang, sedangkan ada sekelompok individu lain terjebak dek adanya ruang dan
peluang yang tercipta oleh kita tanpa kita sedar.
Meletakkan telefon bimbit, dompet di mesin
atm sementara mengambil duit yang keluar dan kemudian terlupa. Meletakkan
telefon bimbit di mana-mana tempat sedangkan kita melakukan sesuatu yang
membuatkan tanpa sedar kita terleka. Jika yang terjumpa itu adalah yang budiman
hatinya, beruntunglah kita, tetapi jika sebaliknya…
Sama-sama kita perbaiki kelemahan. Jika
kita seperti saya yang sangat mudah terlupa, jangan berjalan sendirian.
Berteman dengan teman yang boleh dipercayai. Jangan mudah percaya orang.
Pernah pengalaman saya berjalan sendirian,
didatangi seorang pak cik yang katanya, kereta rosak. Nak pergi rumah saudara.
Duit tak de. Duit dalam atm. Mulanya, pak cik itu bertanyakan jika ada mesin
atm di satu bangunan. Tapi saya tidak pasti. Saya bukan jenis cepat ingat
tentang jalan.. (hadoi, banyak sungguh kekurangan saya) Dan setelah itu, dia
ingin meminjam sejumlah duit. Tidak banyak tapi saya yang kebetulan memang
tiada duit kecil, dan saya memang terasa ‘jika saya ditipu’, dan saya tak nak
pak cik ini rasa tipuannya berjaya, maka, saya tidak dapat membantunya.
Mungkin, jika saya bersangka bahawa pak cik itu dalam kesusahan kan lebih baik.
Bila difikir kembali. Jarak kami dengam mesin atm itu tidak jauh. Dia boleh
sahaja melangkah ke sana dan bertanya kepada yang lebih kudrat daripada saya.
Mungkin dia melihat saya wanita yang berpakaian agak tutup-tutup boleh
diperdaya. Entah, tika itu… mungkin juga kalau saya berdua, saya akan bantu
tetapi ya…siapa tahu sedang saya buka
beg tangan, dia mengugut saya pula. Jalan di situ tidak terlalu sunyi tapi agak
jauh dari orang. Dan pak cik itu bukan pak cik yang sakit kakinya, yang kurus
kering badannya. Saya kira, dia masih larat untuk ke mesin atm.
Makanya, berhati-hati. Wanita khasnya….
Bawalah sesuatu untuk dijadikan senjata. Ya, mungkin bila terjadi, kita pastinya
panik. Tidak dapat bertindak dengan sesuatu yang kita bawa. Tapi sebagai
langkah. Mungkin, pastinya Allah tolong. Wisel, payung, semburan lada, atau
mungkin jarum. Satu ketika dulu, saya memang kerap perlu berjalan sendirian.
Menaiki bas sendirian dan saya akan pastikan adanya jarum peniti pada beg saya.
Mungkin kedengaran agak tidak masuk akal tapi itu sahaja. Jika senjata lain,
saya pula yang didakwa. Dan kepada wanita yang masih mampu, boleh ambil kelas
pertahanan diri dan insya-allah, saya ingin anak saya mengikuti kelas ini.
Kepada para wanita, elakkan jalan
sendirian. Apatah lagi jika anda memakai pakaian yang mengundang mata-mata
mereka melihat ruang dan peluang pada diri anda. Elakkan pemakaian barang kemas
yang menonjol, barangan yang berjenama keterlaluan dan yang penting juga sikap.
Sikap rendah hati dalam diri kepada Allah, hormat orang lain, bercakap dengan
sopan. Elakkan sikap bongkak, sombong, bangga diri, menggedik manja tidak
bertempat.
Jangan anggap kemewahan yang ditonjolkan
itu, kemanjaan itu mengundang suka manusia, sebaliknya hanya mengundang bahaya.
Jadilah manusia yang sederhana, bersyukur dan meletakkan kemewahan yang diberi
itu pada tempatnya. Allah pun suruh kita berusaha perbaiki kehidupan. Tidak
salah menikmati kemewahan, menikmati anugerah yang diberi tetapi biarlah kena
pada tempatnya, dan syukur selalu. Hanya kepada Dia yang mencipta, yang
memberi…