“Allah!”
Asma’ tersedar. Bangun dari pembaringan, masih terduduk di atas
katil. Peluh merenik di dahi.
“Kenapa Achik?” Soal Along serba putih dalam pakaian telekung,
sedang bersedia untuk Tahajjud. Dating dengan Pencipta. Rutin malamnya. Asma’
memandang kakaknya, Syuhada’ Dahinya berkerut.
“Kenapa Achik?” Syuhada’ menghampiri dalam telekung putihnya. Melabuhkan
duduk di tepi katil adiknya. Nafas Asma’ masih kelihatan deras tercungap. Syuhada’
beristighfar dan kemudian berselawat. Bibir Asma’ kelihatan turut sama
bergerak.
“Pergi basuh muka. Wudhu’ sekali. Allah ajak Achik jumpa DIA agaknya.”
Kata Syuhada’ lembut sambil memegang bahu adiknya.
***
Di meja makan, seperti biasa Walid menadah tangan, diikuti jemaah
masjid kecil itu. Memohon keberkatan dalam setiap rezeki yang Allah berikan. Ummi
yang sentiasa prihatin menyedari perubahan si puterinya itu.
“Achik, makan dulu yer.” Lembut bicara Ummi. Asma’ memandang Ummi.
Ummi angguk senyum memberi isyarat. Asma’ angguk kemudian. Walid hanya
tersenyum. Tenang dan syukur melihat prihatin dan kasih seorang isteri dan ibu
itu. Angah dan Uda enak menyuap mee goreng sebagai sarapan pagi hari sabtu.
***
Mentari belum cukup terik. Selesai mengemas di dalam rumah, halaman
rumah menjadi sasaran. Ummi melihat tanaman di pasunya. Cuma ada serumpun
serai, beberapa batang pokok kunyit, dua pasu daun cekur, dua pohon lengkuas,
ada 4 batang pokok bunga kantan. Itu
pokok-pokok yang asas dalam masakan Ummi. Walid pula sedang membaca di ruang
luar tepi rumah itu. Bersama Asma’ dengan sebuah buku di tangannya. Ada meja
dan kerusi kayu dan boleh nampak Ummi dari situ. Syuhada’ melayan kerenah
kucingnya. Angah ada di dalam rumah bersama Uda. Entah apa projek dua orang
mujahid itu.
Tiba-tiba telefon bimbit Walid yang berada di atas meja berhadapan
Walid berbunyi. Walid segera mengangkat. Asma’ dapat dengar jelas tatkala salam
diberi. Ada pertanyaan khabar juga. Asma’ tidak berniat mahu memasang telinga,
tetapi Asma’ yang sedang membaca itu begitu dekat dengan Walidnya,
“Bila ustaz?” Soal Walid.
Diam.
“Insya-allah, saya datang. Harap-harap ada rezeki nak ke sana.
Bantu saudara kat sana.” Kata Walid kemudian.
“Insya-allah. Terima kasih ustaz. Assalamualaikum.” Dan telefon
bimbit diletakkan kembali di atas meja.
Asma’ pandang ayahnya.
“Em, maaf walid. Achik terdengar apa walid cakap tadi.”
“Tak pe. Bukan apa-apa.”
“Tapi, pasal saudara tadi…”
“Owh. Majikan walid nak ada kan mesyuarat. Insya-allah ada orang
boleh dihantar ke Palestin.”
“Palestin? Walid nak pergi?”
“Insya-allah.”
“Tapi kan bahaya.”
Walid tersenyum.
“Apa yang bahaya?” Walid memandang puterinya, kuntuman mawar itu
semakin mekar cantik. Semoga dapat dipagari tanpa ada yang memetik rakus.
“Ye lah. Kan ada perang-perangla. Nanti kalau.” Ayat Asma’ terhenti
di situ. Walid memandang tersenyum. Ada kerisauan di hati si anak itu. Anak
yang perlu diberikan pencerahan disebalik kabur emosi. Ummi berjalan
menghampiri kekasih hatinya.
“Achik takut walid ditembak?” Soal Walid.
Asma’ jadi terkejut. Bukan Angah tak beritahu bagaimana keadaan
Palestin, bukan Along tak cerita bagaimana sukarnya bantuan disalurkan untuk
saudara di sana. Tapi…malam tadi…
“Walid..Achik..”
Walid menunggu bicara
seterusnya.
“Achik..Achik..”
“Yer... Walid ada kat sini.”
Asma’ memandang wajah ayahnya. Ada resah dengan kerutan di dahinya.Asma’
mengumpulkan kekuatan. Tangannya makin erat pegang buku di tangan.
“Achik..” Walid masih menunggu setia.
“Achik...Achik mimpi Achik kena tawan.” Walid tersenyum kecil.
Walid, sentiasa saja dengan senyumnya. Tegas dalam syariat tetapi sangat lembut
dalam mendidik.
“Herm, Achik buat apa?”
“Achik tengah bersedia nak serang penjahat tu dengan ada sorang
lagi mujahidah, tapi lepas tu ada lagi sorang berpakaian macam mujahidah. Achik
ajak dia sembunyi dengan Achik. Sebab kami satu pasukan. Bila dia datang dekat
rupanya, dia orang jahat, Dia terus tawan kami.”
Laju Asma’ bercerita dan air mata Asma’ menitik tiba-tiba.
“Achik, Achik tak dapat buat apa-apa. Sebab salah Achik panggil
orang tu, kami ditawan. Kesian mujahidah yang sorang lagi.” Dalam esakan Asma’
menceritakan. Syuhada’ yang terdengar esakan adiknya berhenti melayani
kucing-kucingnya. Ummi mula duduk di sebelah si puteri. Memeluk menenangkan.
“Subhanallah.”
Asma’ memandang walid tidak mengerti.
“Mungkin, ada perjuangan yang perlu dilaksanakan.”
Asma’ diam masih cuba berfikir mengertikan kata Walid. “Mungkin
mimpi itu mainan tidur, tapi barangkali mimpi juga boleh jadi satu petunjuk
untuk kita.” Walid mula memberi panduan.
“Kalau Achik nak anggap ia sebagai mainan tidur terpulang. Tetapi,
kalau Achik nak anggap ia satu petunjuk pun terpulang pada Achik. Sebab yang
tahu apa Achik rasa, dan apa Achik buat, hanya Allah.”
“Maksud Walid?”
“Kita ada adab sebelum tidur, dan adab-adab itu sedikit sebanyak
membantu kita untuk mengelakkan daripada tidur dan mimpi yang diganggu
syaitan.”
“Walid, Achik selalu ambik wudhu’ sebelum solat. Kadang-kadang dia
baca buku dulu...”
Syuhada’ memandang adiknya.
“Ops, agaknya, Achik ada baca buku perang tak sebelum tidur?” Soal
Syuhada’ kemudian.
“Achik pinjam buku Palestin akak tu.”
“Ha, macam mana tu walid? Mungkin sebab Achik baca buku tu, dia
mimpi macam tu.” Syuhada’ menyoal.
“Herm, macam walid kata tadi. Tak salah Achik nak ambil mimpi tu
sebagai petunjuk kerana walaupun mimpi tu mimpi yang tak baik, bila ditawan
tapi dari satu sudut, ia satu petunjuk kepada kita supaya tak leka.”
“Maksud Walid?”
“Hari ni, ada tak dakyah kristian sampai pada kita?” Soal Walid.
“Erm, pada mata kasar tak nampak walid tapi kalau dilihat betul, ada.”
Jawab Syuhada’ yang lebih dewasa.
“Melalui apa?” Soal Walid lagi.
“Media yang banyak tunjukkan hiburan, fesyen, makanan, sukan.
Secara halus, dakyah mereka sampai pada setiap orang, em, majoriti orang. Em,
juga fahaman-fahaman barat yang menyalahi sunnah.” Syuhada’ menjawab yakin.
“Betul, mereka sangat pandai dan faham. Jika islam ini diganggu
secara terang-terangan, umatnya akan bersatu. Bayangkan, umat islam dari
seluruh dunia datang bergabung, mereka akan kalah. Tetapi, perlahan-lahan,
mereka menjauhkan al-qur’an dari umat islam, mereka menidakkan hukum islam dan
akhirnya, umat islam hilang kekuatan dalaman yang menyebabkan kekuatan luaran
juga terkesan. Kita jadi lemah.” Panjang lebar Walid memberi penerangan.
Memandang ketiga insan amanahnya itu.
“Kekadang kita akan terkeliru dengan perjuangan kita. Kita akan
buntu, terhenti, tetapi dengan Allah, insya-allah, Allah akan beri petunjuk.” Kata
Ummi pula. Walid tersenyum memandang ummi.
“Ini bukan tentang mimpi lagi tapi peringatan untuk kita sebagai
umat islam hari ini. Generasi hari ni dah sangat sakit dengan segala gejala
sosial. Macam mana pula Achik, Along nak tengok generasi akan datang?”
Syuhada’ diam. Dalam hati mengakui. Tugas berat dibahu.
“Oh, ada usrah, tak panggil kitaorang.” Uda muncul bersama Angah
dengan sesuatu di tangannya. Laptop.
“Yang hangpa duk sibuk duk kat dalam tu buat apa?” Jawab Syuhada’
selamba.
“Kitaorang bukan duduk saja la.” Balas Uda sudah pun duduk di
kerusi kayu yang masih kosong. Syuhada’ tersenyum walaupun telah tahu tak kan
mungkin ia cuma duduk saja.
“Cuba Walid tengok kalau ada kekurangan, kitaorang boleh baiki.” Kata Angah sambil membuka laptop hadiah
daripada walid bila itu Angah dipilih sebagai Ketua Pilihan ketika kem Generasi
Akhlak Alqur’an setahun yang lepas. Butang on ditekan.
Rentak perjuangan itu kedengaran. Along sengaja menaikkan volum
bagi wujud semangat. Paparan skrin menunjukkan satu pasukan sedang bergelut
menewaskan pasukan yang lagi satu. Asma’ melihat tekun. Dia boleh mengerti
antara dua itu, pasukan mujahid itu sepertinya dalam mimpinya malam tadi. Suara
takbir bersilih ganti. Pasukan berkuda, memanah dan pasukan pedang cukup
tangkas menewaskan musuh. Dengan bendera kalimah La ila Ha illallah yang
berkibar. Sedang padang itu semarak dengan api perjuangan tiba-tiba, paparan
skrin bertukar rentak. Gambar lelaki dan perempuan berdua-duaan, dengan lagak
mesra, pastinya belum ada ikatan yang sah. Gambar anak-anak muda melepak,
menghisap dadah, berhibur di dalam kelab kelihatan. Tidak lama kemudian, ada
gambar bayi dalam tong sampah. Gambar-gambar bayi yang menyayat hati terkulai
layu. Tidak lagi kelihatan seperti asalnya kejadian tika dilahirkan.
“Allah.” Ummi menutup mulutnya. Serentak mereka memandang Ummi.
Perasaan seorang ibu itu terlalu halus.
Paparan skrin kemudian beralih lagi pada petikan kata-kata semangat
perjuangan daripada ulama’ dan para panglima muslim.
“Subhanaallah. Mantap.” Kata walid sebaik video itu tamat.
“Ada yang perlu dibaiki tak walid?” Angah memandang walid penuh
mengharap pandangan dan nasihat.
“Alhamdulillah. Angah buat yang terbaik. Cuma, kalau Angah sempat,
ada masa, boleh Angah buat video lain lagi. Untuk back up dan penambahan
pengisian.”
“Insya-allah boleh.” Angah tersenyum. Tugas itu kelihatan mudah
tetapi bukan boleh dibuat seremehnya. Ia perlu diniatkan dengan ikhlas untuk
redha Allah semata. Yang memberi hidayah itu Allah. Tugas mereka adalah
menyampaikan.
“Em, Angah boleh buat video untuk beritahu apa peranan kita.
Khasnya pemuda. Sebab audiens ni nanti mahasiswa?” Soal Walid. Menunjuk ajar.
“Em, Walid, macam mana kalau Angah cuba terapkan semangat Khalid
al-Walid, Muhammad Fateh, Salehuddin Ayub dan yang lain-lain dalam kehidupan
sebagai pemuda, mahasiswa?”
“Bagus.”
“Jangan lupa Angah, khususkan satu bahagian dalam video Angah untuk
perjuangan wanita. Angah tahu kan, sekarang wanita mahu berjuang mendapat
keadilan, hak sama rata la. Kadang-kadang ada cara yang tak betul dan
memalukan. Malah ada yang pertikaikan hukum Allah. Angah sediakan bahagian
perjuangan wanita berlandaskan syara’ serta macam mana serikandi islam dulu
berjuang, Saidatina Khadijah, Sumaiyah, Fatimah dan yang lain.”
“Subhanallah. Alhamdulillah.” Ucap Angah penuh syukur. Riak
kegembiraan terpamer.
“Em, tapi sempat ke walid nak tayangkan semua?” Walid memandang
mujahid itu.
“Sebelum tanya itu, tanya diri kita, sempat tak aku nak buat semua
ni?”
Angah tersengih.
“Terima kasih Walid. Bukan apa, Angah risau tak sempat. Tahu aje
lah, Masa yang dibagi tak banyak.”
“Insya-allah, kalau tak sempat pun, masih boleh ditinggalkan
warisan ilmu ni.”
“Macam Rasulullah S.A.W. Baginda tak jumpa kita tapi baginda
tinggalkan kita dua perkara yang kalau kita ikut, kita tak kan sesat.”
“Al-qur’an dan sunnah.” Achik menjawab penerangan Ummi.
“Bijak serikandi ni.” Ummi mengusap kepala Asma’.
“Achik dah dapat apa yang Achik nak buat tentang mimpi Achik tadi?”
Soal Ummi kemudian. Tidak mahu membiarkan bakal mujahadah itu terkontang-kanting
sendirian. Asma’ memandang ummi, beralih pula kepada walid. Angah dan Uda yang
tidak tahu pangkal cerita hanya mendengar dan Syuhada’ setia menunggu jawapan.
“Mungkin sebab Achik baca buku tu sebelum tidur, Achik termimpi,
tapi Achik rasa lepas apa yang walid cakap, mungkin ni satu teguran untuk
Achik.” Bicara Asma’ nampak matang dari usianya yang menginjak 13 tahun.
“Teguran apa?” Ummi menyoal bagi si kecil itu yakin.
“Mungkin ada silap Achik buat yang Achik tak perasan, Mungkin Achik
leka sangat hingga Achik tak perasan perkara tu salah walau luarannya nampak
baik.”
Ummi memandang Asma’.
“Macam tu kot Ummi.” Kata Asma’ memandang Ummi
Ummi tersenyum kemudian.
“Tak apa. Manusia memang akan terus buat salah. Tetapi jangan
biasakan membuat salah, sebaliknya berusaha untuk tidak melakukan kesalahan.
Bila ada kesalahan, kita sedar dan kita kembali kepada Allah.”
“Yup, kepada qur’an dan sunnah.” Celah Uda mantap dan yakin.
“Alhamdulillah. Setiap kita perlu berjuang. Mungkin perjuangan
tidak besar, tapi mulakan dengan perjuangan yang kecil. Mulakan dengan diri
sendiri, dan diiringi dengan yang lain. Perjuangan itu luas, dan kita boleh
berjuang dengan pelbagai cara yang kita mampu. Tenaga, masa, harta dan jiwa.
Gunakan keempatnya itu ikut kemampuan. Insya-allah, allah akan bantu kita.”
“Amiin.”Serentak mereka menjawab. Walid melihat jam di tangan.
10.15.
“Masih sempat dhuha ni.”
“Ya Allah, terlupa pulak.” Ummi bangun.
“Uda dah tadi dengan Angah.” Uda tersengih.
“Iyer, kitaorang pulak.” Syuhada’ menepuk bahu adiknya. Walid
bangun dan melangkah masuk, diikuti Ummi, Syuhada’ dan Asma’.
“Angah, nanti Achik nak tengok lagi video tu ye?” Sempat Asma’
meminta.
“Yer, Insya-allah serikandi mujahadah.” Asma’ tersengih mendengar
doa’ abangnya.
No comments:
Post a Comment